sabtu bernama

KUALA LUMPUR, 16 Mei --  Internet sebagai evolusi telekomunikasi kini berkembang pesat dan menjadi keperluan asas dalam rutin kehidupan seharian kepada setiap lapisan masyarakat mahupun dalam sektor ekonomi dan sosial di negara ini.

Perkembangan teknologi ini juga sebagai platform komunikasi yang semakin interaktif dan inovatif  perlu dimanfaatkan oleh semua pihak terutama dalam era Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0). 

Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Universiti Teknologi Malaysia, Prof Dr Tharek Abdul Rahman menyifatkan dalam situasi dunia kini berdepan dengan krisis pandemik COVID-19, internet dilihat sebagai keperluan asas penting bagi setiap lapisan masyarakat mahupun dalam sektor perniagaan dan sektor pendidikan.

“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperkenal, kehidupan seharian kita tidak lagi sama seperti kebiasaanya, tanpa akses internet ia akan menjejaskan aktiviti seharian kita sama ada secara individu, sektor ekonomi dan sosial.

“Dalam situasi COVID-19 ini kerajaan telah menyarankan rakyat agar 'stay at home' dan 'work from home'. Justeru itu, kita dapat lihat internet adalah keperluan asas dalam kehidupan. Penggunaan internet  melonjak sebab hampir seluruh orang bekerja dari rumah dan memerlukan capaian internet yang laju,” katanya kepada Bernama.

Tharek menyifatkan dalam mendepani cabaran normal baharu susulan COVID-19 ini, teknologi generasi keempat (4G) telah memberi kelajuan yang cukup tetapi kapasiti dan liputan internet di kawasan luar bandar masih rendah.

Beliau berkata kerajaan perlu membuat penambahbaikan kapasiti dan liputan internet di beberapa kawasan luar bandar agar penduduk sekitar tidak ketinggalan dalam capaian teknologi itu.

Bertepatan dengan sambutan Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinformasi Sedunia hari ini, beliau berkata internet terbukti penting dalam kehidupan seharian bagi setiap lapisan masyarakat kerana ia berkait rapat dengan pelbagai bidang terutamanya membantu dalam pendidikan serta menjana pendapatan.

Tharek berkata, projek Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) yang dilaksanakan kerajaan dalam teknologi 5G adalah bertepatan dalam meningkatkan kesalinghubungan digital negara, khususnya di kawasan luar bandar.

Sementara itu, Pensyarah Jabatan Pengajian Media & Komunikasi, Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Hasmah Zanuddin turut bersetuju bahawa internet adalah satu keperluan asas yang perlu diberi tumpuan agar setiap lapisan masyarakat dapat manfaat daripada teknologi itu.

“Signifikasi dalam telekomunikasi ini bergerak selaras dengan perkembangan teknologi dalam pelbagai cara sehinggalah kita boleh membuat ‘wireless communication’. Kalau kita lihat impak telekomunikasi ini memberikan kesan kepada negara. 

“Malaysia antara negara yang ke hadapan dalam perkembangan teknologi komunikasi ini. Kalau kita lihat semasa tempoh PKP, telekomunikasi adalah satu keperluan… semuanya dalam talian. Masyarakat menggunakan teknologi ini secara meluas seperti memesan makanan, pembelajaran, peniaga dan pelbagai lagi,” katanya.

Hasmah berkata, dalam krisis COVID-19 ini juga, peranan pembekal perkhidmatan internet amat penting dalam menyediakan liputan yang lebih stabil terutamanya di kawasan luar bandar.

Beliau mengambil contoh, pelajarnya di beberapa kawasan luar bandar berdepan dengan masalah internet yang tidak stabil telah menyukarkan pembelajaran secara dalam talian.

“Ekoran itu saya perlu membantu mereka dengan berhubung secara aplikasi WhatsApp dan e-mel. Sebagai pensyarah, kehidupan kami ibarat bekerja dari pagi hingga malam agar pelajar tidak ketinggalan pembelajaran mereka,” katanya.

Beliau merumuskan skop internet amat signifikan kepada masyarakat di seluruh dunia terutamanya dalam memenuhi keperluan harian meskipun pergerakan terbatas akibat krisis COVID-19 yang mendorong kita beralih kepada normal baharu.

Sumber:BERNAMA